Isnin, 24 Ogos 2015

Bagaimana mengatasi Anak yang suka Merajuk

Azra dah semakin pandai sekarang ni. Usia dah mencapai setahun lebih ni macam-macam ragam yang saya boleh perhatikan. Kadang-kadang buat saya senyum sendirian kerana gelagat dan keletahnya yang bersahaja menjadikan kita rasa terhibur.

Bila saya baca dari beberapa blog tentang perkembangan bayi usia setahun saya mula mempelajari yang Azra sedang cuba meneroka dunia sekelilingnya. Kadang-kadang apa yang dibuatnya secara spontan mengikut perlakuan biasa yang dilihat dari persekitaran.

Apa yang Azra suka sekarang ialah memasukkan apa sahaja yang dijumpai ke dalam mulutnya. Apa yang saya boleh buat ialah memastikan barang-barang lembut dan selamat sahaja berada di sekelilingnya. Sejak berusia setahun ni juga saya mula perasan Azra dah pandai menunjukkan mimik muka merajuk apabila ditegur. Apa lagi jika dia mula nakkan sesuatu atau nak memenuhi keinginannya, dia akan mula meletakkan mukanya ke lantai.Mungkin tanda protes yang keinginannya tidak dipenuhi.Erm..rupanya apabila saya baca pengalaman ibu-ibu tentang anak mereka, sikap yang sama juga ditunjukkan oleh anak-anak seusia begini. Hanya cara untuk menangani di pihak ibu bapa yang akan membezakan tingkah laku anak-anak kelak.

MEMAHAMI KEHENDAK ANAK

Pada usianya yang mencecah 13 bulan, Azra masih belum pandai menuturkan kemahuannya. Apa yang saya buat ialah memerhatikan tingkah lakunya dan cuba memahami apa yang diinginkannya. Memang pada usia begini saya perhatikan dia begitu perlukan perhatian daripada kami. Kalau dia bersama saya dia akan memfokuskan hidupnya kepada saya. Percakapannya, tindakannya semua yang dilakukannya mahu dikongsi bersama kita. Sekalipun makanan yang ada pada tangannya, dia akan tetap berkongsi dengan saya.Tetapi apabila abahnya pulang dari kerja, fokusnya beralih kepada abah pula. Setiap perbuatan, percakapan semuanya dikongsi bersama abah. Sebaik sahaja abahnya melangkah ke dalam rumah, Azra akan mengekori abah dari bilik air untuk menemankan abahnya yang mengambil wudhuk untuk solat Asar, kemudian menemankan abahnya yang solat dan sanggup menunggu sehingga abahnya selesai solat.

Apa yang saya fahami, kanak-kanak seusia Azra hanya inginkan perhatian dari orang-orang yang dikasihinya. Dia hanya memerlukan perhatian dan kasih sayang dari orang tua seperti kita. 

ANAK MENGAMUK?
Azra juga sudah pandai untuk mengamuk bagi mendapatkan sesuatu yang dihajatinya. Jika saya sibuk dengan kerja rumah seperti melipat kain atau melakukan tugas lain sehingga mengurangkan masa saya untuk bersama nya, Azra juga dah pandai merajuk. Mungkin itu satu cara untuk dia menunjukkan protesnya kepada ketidak prihatinan saya terhadapnya. 




APA YANG SAYA BUAT?

Saya pun masih lagi belajar untuk menangani anak yang sudah pandai mengamuk. Tapi setakat ni saya masih lagi boleh bersabar dengan amukan Azra. Selalu saya akan nasihatkan Azra apabila dia dah habis mengamuknya ( biasanya selepas dia dapat apa yang dia nak) bahawa saya tidak faham keinginannya dan dia kena beritahu saya dengan cara yang baik. Walaupun saya tahu Azra masih belum faham apa yang saya cakap kan, tapi say harap, dia akan mengurangkan sikap suka mengamuknya apabila dia dah semakin besar dan memahami percakapan saya.

Kadang-kadang kalau Azra baru mula nak mengamuk, saya akan alihkan perhatiannya kepada perkara lain.Contohnya apabila dia mengamuk untuk dapatkan sesuatu yang bahaya maka saya akan sorokkan barang tersebut dan mula membelek softbooknya yang berwarna warni. kemudian saya akan mula bercerita tentang apa yang ada dalam buku tersebut. Biasanya cara ni berkesan kerana Azra akan mengalihkan perhatiannya kepada bukunya yang berwarna warni dan melupakan barang yang dia nak tadi.

Sehingga hari ni saya masih bersyukur kerana masih mampu bersabar melayan kerenah Azra, Doa saya semoga saya akan dibukakan hati untuk terus mempelajari dan memahami kerenah Azra serta saya akan cukup sabar melayan setiap kerenahnya.

Azra, anak junior saya yang makin pandai membebel dan kuat sangat mainnya..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan